comscore
Tumpuan :
Nasional

TPM dedahkan draf MoU antara kerajaan dan pembangkang

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto fail

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman MoU mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.

Dalam satu kenyataan jelasnya, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

“Saya kemukakan dua draf MoU berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI.

Niat Kerajaan MADANI ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang,” katanya

Justeru, beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua ahli parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.

Tegas beliau, ia penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua serta kemakmuran negara.

Katanya, dengan pendedahan MoU itu juga, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali.

Beliau turut menghuraikan enam perkara mengenai draf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.

Katanya, tempoh berkuat kuasa adalah dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.

Obligasi PN pula menyentuh mengenai peranan dan fungsi ahli parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai ahli parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

Obligasi kerajaan persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa ahli parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Diraja.

Berhubung ketelusan dan tiada kerahsiaan, memorandum berkenaan tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

Bagi pemakaian undang-undang, MoU berkenaan hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

Manakala aspek pembatalan memorandum pula ia secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut mou itu selain ia melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini