comscore
Tumpuan :
Nasional

TPM akan sampaikan ucaptama pada Minggu Tindakan Iklim di London

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menghadiri Minggu Tindakan Iklim London 2024 dan menyampaikan ucaptama dalam sesi High-Level Dialogue on Coal Phase-Out atas jemputan kerajaan United Kingdom (UK), pada minggu hadapan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasmi Datuk Seri Fadillah ke UK bermula 23 hingga 27 Jun ini.

Menurut PETRA, penyertaan Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ke sesi dialog peringkat tinggi itu cukup penting bagi mengetengahkan perspektif Malaysia dan juga negara sedang membangun dalam usaha peralihan tenaga.

“Pendirian Malaysia agar peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara adil dan saksama termasuk dalam aspek coal phasing-out penting untuk diketengahkan pada forum antarabangsa seperti Minggu Tindakan Iklim London.

“Hal ini kerana keperluan pembangunan ekonomi di negara sedang membangun juga perlu diambil kira dalam aspirasi perubahan iklim dan peralihan tenaga global yang diterajui negara maju,” menurut PETRA.

Datuk Seri Fadillah turut dijangka mengadakan lawatan teknikal ke projek loji jana kuasa angin Vantage RE PLC, yang merupakan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meninjau dan mempelajari aspek pembangunan industri dan kawalan regulatori di UK menerusi perspektif pemaju dan pemilik projek.

Beliau juga akan bertemu dengan pihak International Hydroelectric Association (IHA), pertubuhan antarabangsa bagi memayungi pihak berkepentingan dalam pembangunan hidroelektrik, bertujuan menerokai bidang usaha sama bersama IHA bagi memanfaatkan potensi pembangunan hidroelektrik di Malaysia sebagai sumber bekalan elektrik baseload, terutamanya di Sarawak.

Selain itu, beliau juga akan mengadakan lawatan teknikal ke kemudahan rawatan air mentah dan air kumbahan milik Wessex Water, iaitu syarikat perkhidmatan air dan pembetungan di Bath, Barat London, yang dimiliki YTL Power International Berhad.

“Lawatan teknikal ini antara lainnya akan meninjau sistem rawatan air mentah termasuk pengurusan rawatan air sisa kumbahan yang dilakukan oleh pihak Wessex Water.

“Semasa berada di UK, Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di London bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara terutamanya dalam aspek peralihan tenaga,” menurut PETRA.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini