Tumpuan :
Nasional

TPM Ahmad Zahid adakan lawatan rasmi ke UAE

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – FOTO: NSTP

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

ABU DHABI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini hingga 19 November.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara Malaysia dan UAE pada tahun 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri ke UAE pada Oktober 2023.

Ia menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara, selepas hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022.

Sepanjang lawatan terbabit, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi yang akan memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta kecerdasan buatan (AI).

Delegasi Malaysia juga akan mengunjungi Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence dan bertemu dengan wakil daripada G42, sebuah syarikat AI terkemuka di UAE.

Selain itu, Ahmad Zahid akan merasmikan MIHAS Dubai 2024 dan bertemu dengan pemegang taruh dalam sektor halal UAE.

Pada tahun 2023, UAE telah menjadi pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

UAE kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar, serta sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Daripada Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 16.03 peratus, mencapai RM32.85 bilion (USD7.5 bilion), berbanding RM28.31 bilion (USD6.3 bilion) pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini