Tumpuan :
Nasional

TPAD desak isu kos komisen pemandu e-hailing disemak semula

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PUTRAJAYA: Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) mendesak Kementerian Pengangkutan (MOT) menyemak semula kadar komisen rendah yang dikenakan syarikat pengendali perniagaan pengantaraan (EHO) kepada pemandu e-hailing.

Presidennya M Nathan berkata, TPAD mempersoalkan kadar komisen 20 peratus yang dikenakan terhadap pemandu e-hailing dan dikekalkan sejak tahun 2009, meskipun banyak syarikat e-hailing lain telah mengurangkan kadar komisen mereka.

“Pada waktu itu, syarikat seperti Uber dan Grab menjadi pesaing utama antara satu sama lain, dimana komisen mereka adalah 25 peratus dengan sistem penerimaan manual, sementara 20 peratus adalah penerimaan automatik.

Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M Nathan

“Namun kini, kita boleh lihat banyak syarikat e-hailing telah mengurangkan kadar komisen mereka. Beberapa syarikat lain berjaya melakukannya, namun syarikat ini masih mengenakan caj komisen sebanyak 20 peratus, yang pada saya agak tinggi.

“Kita melihat keadaan ini dirasakan tidak adil bagi pemandu e-hailing kerana mereka perlu menanggung kos yang lebih tinggi namun masih dikenakan komisen yang sama, tanpa manfaat atau kebebasan yang diberikan kepada pemandu teksi,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengandungi 21 tuntutan kepada Ketua Setiusaha MOT Datuk Jana Santhiran Muniayan di perkarangan bangunan MOT, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kadar insurans yang dikenakan ke atas e-hailing dan p-hailing kini lebih tinggi berbanding teksi, meskipun kos operasi kedua-dua jenis perkhidmatan hampir sama.

“Untuk e-hailing, kos insurans lebih tinggi hampir dua kali ganda berbanding teksi tetapi teksi mempunyai komisen yang lebih rendah dan pemandu teksi diberikan pilihan untuk menerima atau menolak tempahan secara manual, berbeza dengan e-hailing yang tidak menawarkan fleksibiliti ini.

“Jadi, ini menunjukkan ketidakseimbangan yang jelas dan dirasakan sebagai tidak adil bagi pemandu e-hailing,” katanya.

Sementara itu, Penasihat TPAD, G.K Segar turut membangkitkan isu monopoli yang didakwa dilakukan oleh sebuah syarikat penghantaran barang yang memberikan harga yang lebih rendah kepada pelanggan sekaligus menyebabkan pemandu lori menanggung kos yang lebih tinggi.

“Kami faham pengguna sudah pasti akan memilih perkhidmatan yang lebih murah namun pemandu ini turut mengalami kos sara hidup juga , contohnya jika dahulu dia boleh bawa lori selama 12 jam dengan pulangan RM300, tetapi sekarang 14 jam tidak sampai RM200 dan jika ditolak dengan kos penyelenggaraan paling kurang RM100 sahaja,”ujarnya.

Menurut Nathan lagi, tuntutan lain yang turut dikemukakan adalah pengurangan komisen bagi pemandu berusia 60 tahun ke atas.

“Pemandu warga emas berhak diberikan kelebihan dalam bentuk pengurangan komisen. Sebagai contoh, komisen boleh dikurangkan sekurang-kurangnya 5 peratus kerana mereka sudah berusia dan mungkin tidak lagi bekerja secara aktif untuk mencapai sasaran harian seperti pemandu yang lebih muda.

“Walaupun mereka telah bersara, ramai di antara mereka tetap mempunyai komitmen kewangan yang perlu dipenuhi dan tidak semuanya tinggal bersama keluarga,”katanya.

Tambahnya, TPAD turut mempersoalkan kadar tambang yang tidak dikemaskini sejak tahun 2009. Dengan kos bahan bakar yang meningkat, pemandu e-hailing kini terpaksa bekerja lebih masa, namun masih gagal mencapai pendapatan yang mencukupi.

“Sebagai contoh, pada tahun 2009, tambang perjalanan dari Kuala Lumpur ke destinasi tertentu adalah sekitar RM76, tetapi kini, selepas ditolak komisen dan kos petrol, pemandu hanya memperoleh sekitar RM42,”ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini