KOTA TINGGI: Kereta memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori, dipercayai menjadi punca nahas dua kenderaan yang meragut empat nyawa termasuk tiga beranak di Kilometer (KM) 8.9 Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata mereka yang maut adalah mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios, termasuk bayi berusia lima bulan, yang berlanggar dengan lori Isuzu dalam kemalangan kira-kira jam 12.50 tengah hari itu.
Beliau berkata, pemandu dan semua penumpang kereta itu yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat semua mangsa itu telah dirujuk ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, untuk prosedur siasatan.
“Lelaki berusia 60 tahun yang memandu lori terbabit pula mengalami kecederaan bengkak di bahagian lutut.
“Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam insiden itu, mangsa terkorban ialah pasangan suami isterj berumur 22 tahun, Aieman Azriq Ahmad dan Nurul Fazilah Noor Azmi, serta bayi mereka, Aryan Khalif Aieman Azriq berusia lima bulan.
Seorang lagi yang maut adalah penumpang kereta itu, Mohamad Rasyid Razali, 17.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.