KOTA BHARU: Tourism Malaysia bercadang untuk memperluaskan program jualan tengan malam atau ‘Midnight Sales’ ke lebih banyak pusat membeli-belah di seluruh negeri di Pantai Timur.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahya berkata, ia sebagai usaha menjadikan jualan tengah malam sebagai acara tahunan pelancongan yang ditunggu-tunggu.
Katanya, secara keseluruhan, tujuh program Midnight Sales diadakan di seluruh negara dan dua daripadanya di Kelantan serta Terengganu.
“Antara matlamat penganjurannya adalah untuk menggalakkan pelancong antarabangsa khususnya yang bersempadan dengan Malaysia mengambil peluang ini bukan sahaja berbelanja tapi juga bermalam di negara ini.
“Inisiatif ini memfokuskan kepada pelancong dari Singapura dan Thailand yang menjadi harapan Tourism Malaysia agar mereka dapat memanjangkan tempoh keberadaan di negara ini termasuk bermalam di mana-mana hotel.
“Acara di pusat membeli belah mampu menjadi alasan kepada mereka yang datang dari jauh untuk tinggal lebih lama di Kelantan sekaligus menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya selepas pelancaran ‘midnight sales’ sempena Kempen Malaysia Year End Sale (MYES) 2024 di sini, malam tadi.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.
Seramai 100 pelancong dari Selatan Thailand berkunjung ke Kelantan untuk program ‘midnight sales’ ini.
Mengulas lanjut, Mohd Azizul berkata, tempoh 15 November 2024 hingga 1 Januari 2025 diwartakan untuk pelaksanaan jualan akhir tahun dan Tourism Malaysia dengan kolaborasi lebih daripada 60 pemain industri melancarkan kempen MYES itu di seluruh negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.