Oleh Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Sebuah tongkang kontena yang nyaris karam akibat kebocoran di sempadan perairan Pulau Pinang dan Kedah diselamatkan bot tunda dalam kejadian tengahari tadi.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa anak kapal dilaporkan.
Agen syarikat perkapalan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wan ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 tengahari.
Ia dipercayai berlaku di perairan muara Kuala Muda iaitu sempadan di antara Kedah dan Pulau Pinang.
Tongkang Namthong 27 dari Kantang, Thailand yang membawa kontena kargo itu sedang menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang sebelum mengalami kebocoran.
Difahamkan air masuk ke dek tongkang, dipercayai kerana berlaku kebocoron, namun punca sebenar masih belum dikenalpasti.
Bot tunda segera dihantar ke lokasi susulan panggilan kecemasan dan kedudukan tongkang dapat diselamatkan daripada karam dan distabilkan.
Sehingga jam 5 petang, pekerjanya masih mengepam air keluar dari tongkang, namun keadaan dilaporkan selamat.
Selepas selesai kerja-kerja penyelamatan, tongkang dijangka ditunda ke Pelabuhan Pulau Pinang atau jeti berdekatan pada jam 11 malam.
Kesemua lapan kru dalam tongkang juga selamat tanpa sebarang kecederaan.
Kesemua kontena dalam tongkang juga dapat diselamatkan dalam keadaan yang baik.
Rakaman video kejadian yang dipercayai dirakam nelayan itu turut tular di media sosial.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau Jabatan Laut Pulau Pinang dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.