comscore
Tumpuan :
Nasional

Tong dipercayai mengandungi sisa toksik dibuang dalam kebun sawit

ADUN Chuah, Yew Boon Lye melihat pelbagai tong di sebalik sampah yang dipercayai mengandungi sisa toksik yang dibuang di dalam kebun sawit di Bukit Pelandok, Chuah, Port Dickson. – FOTO: NSTP

PORT DICKSON: Pelbagai tong mengandungi cecair dipercayai sisa kimia dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kawasan ladang sawit milik penduduk di Bukit Pelandok, dekat Chuah, di sini.

Semua bahan itu ditemukan pemilik tanah terbabit Jumaat lalu sebelum ia dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye.

Boon Lye berkata, sebaik menerima aduan, beliau aya bersama beberapa agensi serta penduduk melakukan tinjauan di kawasan sejauh tiga hingga empat kilometer dari jalan utama itu, sebelum menemukan lambakan pelbagai tong dipercayai mengandungi sisa toksik.

Beliau berkata, aduan kemudian dibuat kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan pihak berkenaan sudah mengambil sampel bagi mengenal pasti jenis cecair yang terdapat dalam tong terbabit.

“Kita percaya perkara itu dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Saya kesal kerana ia dibuang di lokasi ladang sawit penduduk tanpa memikirkan akibatnya termasuk risiko menjejaskan kesihatan orang awam.

“Buat masa ini, saya masih menunggu laporan kimia daripada JAS dan jika terbukti ia bahan terlarang atau toksik membahayakan, tindakan susulan akan diambil,” katanya.

Boon Lye berkata, ia kali kedua kejadian serupa berlaku di kawasan Chuah, namun kali ini bahan dipercayai tercemar itu lebih banyak iaitu sepanjang satu kilometer.

“Aduan polis juga sudah dibuat dan kita sedang mengesan ‘penjenayah’ yang melakukannya sebelum tindakan undang-undang dikenakan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah JAS negeri, Azri Muzani Azizun, berkata sampel bahan itu sudah diambil bagi mengenal pasti jenis toksik atau racun sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Memang penemuan itu amat memeranjatkan kerana terdapat banyak lambakan tong mengandungi bahan terlarang dipercayai sisa toksik, cuma kita tunggu hasil uji kaji,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini