PUTRAJAYA: “Saya memohon kebaikan semua untuk mendoakan kesihatan bapa saya dan memberikan ruang kepadanya fokus sepenuhnya kepada rawatan beliau,” kata Eva Zarina, anak kepada peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Berita Ahmad Zaharil yang terkenal sebagai ‘Peguam Kotak Pensil’ menerima rawatan di hospital itu dikongsi anaknya menerusi akaun TikTok Eva Zarina.
Ahmad Zaharil dilaporkan dikejarkan ke hospital akibat demam pada Jumaat lalu dan masih menjalani rawatan sehingga kini.
Eva Zarina turut memohon pertimbangan anak guam kepada ayahnya supaya dapat memberi ruang dia menjalani rawatan dan akan menghubungi mereka bagi pengurusan kes mahkamah apabila kembali stabil.
Sementara itu, video peguam berkenaan terlantar di katil hospital turut dimuat naik di laman TikTok miliknya.
Ahmad Zaharil pernah tular apabila kisahnya sebagai peguam bela kepada seorang wanita India yang ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana mencuri sebuah kotak pensil pada 1998 dikongsi melalui media sosial pada 2023.
Tindakan wanita itu dibuat kerana ingin memberikan hadiah kotak pensil berharga kira-kira RM18 kepada anaknya yang berjaya mendapat tempat pertama di sekolah disebabkan kesempitan wang.
Ahmad Zaharil yang mengetahui kisah itu bertindak segera mewakili wanita terbabit sebagai peguam bela dan berjaya mendapatkan hukuman ringan bagi mengelak wanita itu dipenjara yang boleh menyebabkan anaknya terabai.
Tanpa disangka pada 2017, Ahmad Zaharil ditegur seorang pemuda yang juga seorang peguam iaitu anak kepada wanita yang dibelanya itu kerana mencuri kotak pensil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.