KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini perlu menolak segala amalan dan ideologi ekstrem yang boleh memecahbelahkan rakyat serta merugikan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amalan dan ideologi ekstrem itu bercanggah dengan nilai serta pegangan dalam sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian.
“Perkara ini (menolak amalam dan ideologi ekstrem) selari dan mendukung aspirasi Malaysia MADANI. Ini kerana, di bawah aspirasi ini, kita komited mahu menyerlahkan pegangan dan sistem nilai yang unggul.
“Pegangan dan sistem nilai unggul ini mengajak masyarakat supaya meletakkan ihsan, kesejahteraan insan serta keharmonian lingkungan sebagai matlamat bersama,” katanya pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2024 dan Pelancaran Kad Veteran Digital di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Turut hadir Penaung KTP Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizudeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Datuk Laksamana Zulhelmy Ithnin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.