KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat perbincangan berhubung pemberian tol percuma sempena perayaan Deepavali, Ahad ini, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebarang pengumuman berhubung pemberian tol percuma itu bergantung kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).
“Setakat ini saya nyatakan belum ada perbincangan lagi, kalau ada pengumuman, ia akan dibuat oleh MOF, jika dapat kelulusan MOF baharu Kementerian Kerja Raya akan umumkan pelepasan tol itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung sama ada kerajaan akan memberikan tol percuma sempena sambutan Deepavali, khususnya bagi rakyat Malaysia yang ingin menghabiskan cuti umum itu ke luar kawasan.
Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, pengecaman nombor plat antara cadangan yang akan diguna pakai dalam pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya seluruh negara, dijangka bermula tahun hadapan.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, berkata kaedah itu akan dilaksanakan bersama Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) dalam memastikan laluan di lebuh raya lebih lancar dan efisien.
“Kita buat kajian berhubung pelaksanaan MLFF ini yang mana ia banyak dilaksanakan di negara lain dan kita akan cuba melaksanakannya pada 2024 sama ada ia sesuai.
“Antara cadangan penggunaan pengecaman nombor plat itu dibuat bagi memastikan laluan lebih cepat dan efisyen di lebuh raya,” katanya.
Abdul Rahman berkata, sehingga kini terdapat 416 lorong RFID di lebuh raya di seluruh negara dan ia sering dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Beliau berkata, malah KKR juga sentiasa menambah baik kutipan tol RFID selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggunapakai MLFF di negara ini.
Difahamkan, cadangan pengecaman nombor plat itu dibuat di lebuh raya sebelum bayaran tol itu ditolak secara automatik melalui kad debit, kredit atau kad tambah nilai.