Tumpuan :
Nasional

 Tol percuma sempena Deepavali

FOTO: BH

KUALA LUMPUR: Khabar gembira buat yang bercuti  sempena perayaan Deepavali apabila kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya bermula Sabtu hingga Ahad .

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama-sama dengan syarikat konsesi juga bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini yang bermula pada 11 November 2023 (Sabtu) jam 12.01 tengah malam sehingga 12 November 2023 (Ahad) jam 11.59 malam.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata, pemilihan tarikh itu juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang lebuh raya dengan anggaran jumlah trafik dalam masa dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan,” katanya.

Loading...
Terkini