PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) pada 8 dan 9 Februari sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat) kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Pengecualian tol kali ini memberi implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
Menurutnya lagi, tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini.
“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan,” katanya.
Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.
Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.