KUALA BERANG: Kudrat usia senja masih kuat bagi seorang nenek, Minah Omar, 71 tahun atau lebih dikenali Tok Minah memanjat pokok duku di dusun miliknya di Kampung Sekayu, di sini.
Seawal usia 25 tahun, beliau melakukan aktiviti memanjat pokok bagi menyara kehidupan dan membesarkan tujuh orang anak.
“Semasa Tok muda dulu, Tok panjat duku sendiri dahulu. Selepas itu Tok ambil upah mencari pucuk paku dan membuat kerja lain untuk membesarkan anak. Semua Tok kerja. Tidak suka rehat,” katanya.
Pokok duku yang ditanamnya sejak 30 tahun lalu masih utuh memberi bakti kepadanya sehingga kini.
Disebabkan buah duku tidak boleh dikait menggunakan galah kerana kulitnya yang rapuh, ia perlu dipetik dengan tangan.
Pada kebiasaannya, Tok Minah akan melakukan aktiviti ini pada waktu petang setelah buah duku kering dari embun.
Bergantung kepada kudratnya, nenek hebat ini mampu memanjat dua batang pokok dan memetik anggaran 60 kilogram buah duku setiap hari.
Anak-anaknya pernah menyatakan kebimbangan, namun Tok Minah berkata ia sudah menjadi rutin dan tidak boleh tiada aktiviti seharian.
“Dia (anak-anak) marah dan berkata ‘tak payah naik la ma, biar orang yang naik’. Tetapi Tok suka panjat sendiri lagi. Tok tidak boleh duduk rumah sahaja, jadi lenguh dan demam. Tok memang suka panjat pokok.
“Tak boleh tengok orang memanjat, rasa terus hendak panjat” katanya.
Bagi anaknya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, rasa bimbang terhadap ibu tidak menghalang minat Tok Minah.
“Sejak kecil tiada ayah, jadi mak sering membawa saya mencari rezeki sehingga kini.
“Melihatkan cara kehidupan mak, memberikan saya dan adik-beradik semangat seperti dia” kata Zaimah.
Disebabkan buah duku yang dipetik tidak boleh disimpan lama, Tok Minah akan menjual buah duku secara lelong dengan harga 50 sen sekilogram.
Nenek kepada 17 cucu ini hanya akan menjual buah-buahan di gerainya, jika mempunyai banyak stok yang tidak dibeli peraih.
Niatnya hanya untuk berkongsi kemanisan duku bersama orang ramai.
Ketahui lebih lanjut mengenai nenek hebat ini menerusi episod penuh Majalah 3, layari www.tonton.com.my atau di strim secara HD di aplikasi Tonton.