Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Vietnam, To Lam yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyambut ketibaan beliau pada pukul 11.50 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
To Lam kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja, diketuai Mejar Mohamad Fikri Senan.
Terdahulu, beliau tiba di Malaysia pada Khamis untuk mengadakan lawatan sulungnya sejak mengambil alih jawatan pada Ogos lalu.
Turut hadir pada majlis sambutan itu adalah kedua-dua Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
To Lam dan Anwar kemudian mengadakan mesyuarat dua hala di Seri Perdana bagi membincangkan dan bertukar pandangan yang dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital dan komunikasi maklumat.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dalam Memperkukuh Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE) dan Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dengan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.