comscore
Tumpuan :
Nasional

TNC UMT dianugerah pangkat Leftenan Komander Maritim Kehormat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Naib Canselor (TNC) (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Marinah Mohd Ariffin dianugerahkan pangkat Leftenan Komander Maritim (Kehormat).

Penganugerahan berkenaan atas khidmat bakti beliau sebagai TNC yang sentiasa memberi sokongan dalam aktiviti Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM) dan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM).

Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat itu disempurnakan Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut disaksikan langsung secara dalam talian oleh ahli PASKAM UMT di Kuala Terengganu.

Menurut Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan, penganugerahan Pangkat Kehormat Maritim Malaysia diberikan kepada individu tertentu bagi menghargai sumbangan dan peranan signifikan yang diberikan terhadap agensi terbabit.

“Penganugerahan Pangkat Kehormat diberikan kepada Prof Dr Marinah adalah bagi memudahkan dan melancarkan pelaksanaan PASKAM di UMT, selain membantu cawangan PSMM dan PASKAM, Bahagian Sumber Manusia (BSM) Ibu Pejabat Maritim Malaysia dalam merangka dan menyusun silibus program latihan untuk kadet PASKAM yang menepati akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia juga sebagai platform perhubungan komunikasi dengan pegawai penyelaras yang dilantik di Maritim Negeri Terengganu (MNT),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Untuk rekod, PASKAM UMT diwujudkan tahun lalu dengan pengambilan 50 pelajar bagi sidang akademik 2022/2023 pada Oktober 2022.

UMT terpilih sebagai Universiti Awam kedua selepas Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang menawarkan kursus badan beruniform PASKAM kepada mahasiswa peringkat Sarjana Muda.

Sementara itu, Prof Dr Marinah berkata, pada semester lalu, Penyelaras Maritim Malaysia memperolehi markah penilaian kepuasan dari pelajar melebihi 90 peratus.

Beliau menyifatkan ia satu pencapaian yang amat membanggakan dan membuktikan tenaga pengajar serta pegawai Maritim Malaysia amat terlatih dan berkemahiran tinggi.

“Pada 25 Jun lalu, jurulatih Maritim Malaysia bersama tenaga pengajar UMT telah menjalani audit kepatuhan kualiti pengurusan di bawah sistem QMS ISO9001 dan berjaya mencapai kepatuhan bagi kesemua skop audit.

“Antara lain, sumbangan yang telah diberikan oleh pihak Maritim Malaysia kepada PASKAM UMT adalah menjadi tenaga pengajar bagi program sulung PASKAM iaitu program amali pelayaran di Pulau Redang pada 1 Jun dan 24 Jun lalu.

“Perkongsian aset kapal peronda Maritim Malaysia sebagai platform latihan telah memberi pendedahan sebenar operasi agensi ini kepada kadet PASKAM UMT. Ianya telah dicemburui oleh badan-badan uniform lain yang telah wujud lebih lama di UMT,” katanya.

Loading...
Terkini