Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak dirujuk dan dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, sehingga kini, tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung dibuat.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan PETRA pada 20 Disember lalu, kerajaan menekankan sekali lagi bahawa PETRA bersama-sama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu.
Jadual tarif elektrik itu dijangka untuk dilaksanakan bermula pada Julai depan.
“Berkait dengan perkara tersebut, ingin dijelaskan bahawa semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapatnya keperluan untuk meneliti semula harga bahan api terutama arang batu dan gas,” katanya.
Dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3) (2022-2024), unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar 79 dolar amerika per matrik tan (AS$/matrik tan) dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat menggunakan formula ‘Reference Market Price’ (RMP).
Peringkat pertama bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24 per ‘Metric Million British Thermal Unit’ (MMBtu) dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu.
Harga purata bagi penggunaan gas pula melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.
Mengulas lanjut, menurut Fadillah, pasca COVID-19 dan krisis tenaga global menyebabkan harga bahan api meningkat secara mendadak.
Ujar beliau, harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) (2025-2027) diunjurkan pada kadar AS$97/matrik tan dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 mmscfd akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu.
Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu.
“Bagi pengguna kategori domestik dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif elektrik yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar,” katanya.
Tambahnya, pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diteruskan.
Ini akan memastikan 85 peratus pengguna
domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah tidak akan terkesan.
Selain itu, pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar sebenar.
Namun, pengguna kategori tersebut mempunyai alternatif yang mana kerajaan menggalakkan pemasangan solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing.
Mereka juga diseru mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di pepasangan serta premis mereka.
“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, menurut TNB kepada Bursa Malaysia semalam, tarif asas elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kWj bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.