Oleh: Safwan Sawi
SEMPORNA: Tindakan pemusnahan objek menyerupai bom disyaki tinggalan Perang Dunia Kedua di perairan Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, di sini akan diambil tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata bagi tujuan itu pihaknya ketika ini masih menunggu ketibaan Pasukan Pemusnah Bom berkenaan.
“Kita masih menunggu tindakan dari pihak TLDM Lumut untuk tindakan pemusnahan. Pihak Pasukan Polis Marin Semporna juga memantau kawasan penemuan agar tidak dimasuki oleh orang awam hingga objek bom tersebut dapat dilupuskan,” katanya ringkas ketika dihubungi Buletin tv3.
Tambah Sabri, selain polis, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah – ESSCOM turut terlibat memantau keselamatan sekitar kawasan penemuan itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu pihak berkuasa bertindak pantas dalam menangani perkara berkenaan bagi keselamatan semua pihak.
“Saya menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan proses penyiasatan dan pelupusan objek yang disyaki bom ini.
“Selain itu, saya meminta Taman-Taman Sabah dan agensi lain yang terlibat untuk memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau tersebut boleh dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Langkah itu ujarnya akan memberi keyakinan kepada pelancong dan pihak perniagaan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Semalam, Taman-Taman Sabah menerusi hebahan notis di Facebook menyatakan penemuan objek disyaki bom Pulau Sibuan dan menutup sementara pulau itu sebagai langkah keselamatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.