Oleh : Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah menyenaraikan 39 kawasan berisiko berlaku kepala air di negeri itu, ketika musim hujan termasuk di Titi Hayun, Yan dan Kampung Iboi, Baling.
Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kawasan ‘hot spot’ itu terletak di 10 daerah di negeri itu, dengan daerah Baling merekodkan jumlah terbanyak iaitu 11.
“Di Iboi, lokasi berisiko adalah di Lata Celak manakala di kaki Gunung Jerai adalah di Titi Hayun dan Air Terjun Seri Perigi.”
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mengambil tahu sitausi cuaca di lokasi yang ingin dituju, dan memastikan kawasan perkhemahan didirikan di tapak yang selamat dan tinggi,”katanya.
Kata beliau, Sik pula mencatatkan lima lokasi berisiko iaitu Lata Mengkuang, Pusat Peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral.
Menurutnya, kejadian terbaharu kepala air membabitkan dua mangsa wanita terperangkap dan cedera yang diselamatkan anggota APM berlaku di Lata Bayu, Baling pada Khamis lalu.
“APM ingin menasihatkan orang ramai yang terlibat dalam aktiviti dan pergerakan berisiko riadah di kawasan rekreasi seperti sungai dan air terjun untuk dilaporkan di balai polis berhampiran.”
“Dalam keadaan hujan lebat, terdapat risiko berlakunya kepala air dengan ia turut melibatkan aliran puing atau debris seperti batang pokok dan ranting yang boleh menyebabkan mangsa dihanyutkan arus dan lemas,” katanya.
Orang ramai juga katanya perlu berjaga-jaga sekiranya mengesan tanda-tanda berlaku kepala air seperti awan gelap di puncak gunung, air bertukar keruh, air deras disertai ranting kayu dan daun kering selain air sungai berbuih.
Dalam pada itu katanya, terdapat 357 ‘hot spot’ banjir di Kedah dengan tumpuan kawasan berisiko adalah di lembangan Sungai Muda.
“Seramai 1,100 anggota APM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut, termasuk bencana kepala air dan banjir.”
Untuk rekod, APM Kedah mempunyai kekuatan logistik melibatkan 38 kenderaan darat serta 58 kenderaan air terdiri daripada 56 bot aluminium dan dua bot Sealegs.