SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pihak yang mengecam dirinya berhubung Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai individu yang dangkal ilmu.
Perdana Menteri berkata, ia kerana pihak berkenaan sebenarnya tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu, namun cuba untuk mengulas.
Katanya, dalam hal terbabit, beliau hanya menggunakan tanggungjawabnya supaya adil untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
“Kemudian saya jawab begitu, wah dia kecam…nak tipu. Nak selindung pasal adendum.
“Ini yang saya katakan berlaku kerana kedangkalan ilmu, kerana maklumat tidak disampaikan, kerana budaya kita, kadang-kadang budaya picisan…baca sekerat-sekerat.
“Amalan membaca, mencari kebenaran tidak ada tabayun (mencari hakikat sesuatu maklumat dengan teliti, saksama dan berhati-hati).
“Tidak ada bicara soal Melayu, bicara soal Islam akhlak, tidak ada minat untuk mencari kebenaran… jadi ini masalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival FlySiswa 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi membincangkan isu Titah adendum terhadap Najib.
Menerusi surat bertarikh 9 Disember itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS memohon kebenaran terbabit di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menurutnya, perbahasan itu penting bagi semua pihak mengetahui sama ada wujud atau tidak perkara berkenaan, ditambah pula tular titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang ditujukan kepada Peguam Negara.
Bagaimanapun kelmarin, Anwar memaklumkan bahawa isu titah adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.
Beliau dilapor berkata, perkara itu boleh disahkan kerana beliau sendiri berada dalam mesyuarat terbabit.
Jelasnya, pada mesyuarat sama beliau sendiri yang mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 agenda permohonan pengampunan Najib dalam pertimbangan mesyuarat Lembaga Pengampunan ketika itu.