Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Menteri UMNO bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan untuk memberikan keterangan berhubung kewujudan titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang berlangsung di Menara Dato Onn malam tadi.
“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu di sini malam tadi.
Jelasnya UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib, selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi ke bawan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, pada Jumaat.
Antara yang hadir ialah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 sudah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.