Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan perintah pembebasan mengikut prosedur dan berlandaskan lunas undang-undang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sebarang arahan berkaitan perkara ini adalah hasil prosiding lembaga pengampunan yang tertakluk kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka ikut prosedur, maka apa saja yang mereka terima mereka laksanakan berlandaskan undang-undang.
“Sebarang perkara berkait arahan itu terbit daripada prosiding lembaga pengampunan berdasarkan perlembagaan perkara 42,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan bahawa hal-hal lebih terperinci mengenai perkara tersebut akan dibincangkan di mahkamah dan menyerahkan kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya.
“Berkaitan dengan kes kita serahkan kepada mahkamah dari segi proses dan penjelasan oleh Menteri Dalam Negeri dan kita ikut proses itu,” ujarnya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya menegaskan pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.