comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiris, seleweng punca utama minyak masak paket kurang di pasaran

SEREMBAN: Isu kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran adalah berpunca dari masalah ketirisan dan penyelewengan yang dilihat menjadi penyumbang utama isu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata ketika ini KPDN mengeluarkan sebanyak 60 juta paket minyaj masak sebulan.

“Itu kuota kita iaitu 60 juta paket sebulan dan sebenarnya ia mencukupi untuk keperluan pengguna, tapi apabila berlaku ketirisan atau kegiatan penyelewengan mengakibatkan berlaku kekurangan dan orang ramai tidak jumpa (di pasaran).

“Bagaimanapun pihak penguat kuasa kita sememangnya sentiasa turun padang dan sepanjang bulan puasa setakat ini, kita telah buat Op Pantau dengan memeriksa sebanyak 30,000 premis di seluruh negara.

“Kami akan sentiasa memastikan tidak berlaku, semua perkara tidak diingini seperti ketirisan dan penyelewengan barang-barang kawalan ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kementerian akan memastikan semua barangan keperluan harian pengguna mencukupi selain harganya terkawal.

“Ia termasuk juga memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara mendadak atau luar biasa,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan KPDN turut menerima aduan daripada orang ramai terutama membabitkan isu kenaikan harga, peniaga bazar Ramadan yang kali pertama berniaga tidak meletakkan tanda harga dan sebagainya, namun ia terkawal.

“Ada kalanya kita bagi kompaun atau nasihat, niat kita bukan untuk menghukum tapi untuk mendidik, advokasi dan mahukan semua pengguna serta peniaga ‘menang-menang,” katanya.

Loading...
Terkini