ALOR SETAR: Kehidupan di sebalik tirai besi tidak menghalang seorang tahanan berusia 34 tahun untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Berbekalkan keazaman yang tinggi, tahanan Penjara Alor Setar ini berjaya membentangkan kajian tesisnya dalam sesi viva yang dijalankan pada 18 September lalu.
Pelajar Sarjana Pengurusan di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata dia membuktikan tidak ada yang mustahil untuk dicapai oleh tahanan sepertinya asalkan mempunyai iltizam untuk berjaya.
“Penjara banyak mengajar erti kehidupan dengan memberi peluang untuk saya menimba pelbagai ilmu dan bangkit untuk terus maju ke hadapan.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk saya kembali belajar, begitu juga UUM, khususnya penyelia saya, Profesor Madya Dr Zulkiflee Daud dan Dr Mazli Mutazam yang sentiasa memberi sokongan untuk saya terus belajar walapun berada dalam penjara,” katanya.
Sesi viva berkenaan dipengerusikan oleh Profesor Dr Hasnizam Shaari, manakala pemeriksa tesis terdiri daripada Profesor Madya Dr Hamran Mohamad Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Profesor Madya Dr Abdul Sukor Shamsudin (UUM).
Sesi itu turut dihadiri oleh Dr Nasirudin Haron sebagai Setiusaha dan Abdul Hafiz Abdul Halim sebagai urusetia daripada SBM.
Jabatan Penjara Malaysia sememangnya membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian yang lebih tinggi supaya penghuni berkenaan dapat mencorak masa depan lebih cerah apabila dibebaskan kelak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.