Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak sindiket penipuan pindah milik tanah mempunyai campur tangan melibatkan golongan profesional.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes seumpama itu kebiasaannya melibatkan banyak pihak yang memerlukan kerjasama dari pihak dalaman dan luar.
“Kemungkinan itu ada (penglibatan golongan profesional) sebab kes seperti ini akan melibatkan banyak pihak, dari segi memudahkan itu dari dalaman dan orang luar akan bekerjasama.
“Dia seolah-olah satu sindiket dan kemungkinan penglibatan golongan profesional termasuk peguam itu semua boleh berlaku dan tidak mustahil,” katanya ketika dihubungi Buletin Tv3 hari ini.
Bercakap mengenai proses siasatan, kes berkenaan katanya sudah berada di fasa akhir.
Pihaknya juga mencadangkan agar siasatan dalaman turut dibuat sekiranya mahu kes berkenaan dikembangkan.
“Di fasa akhir (siasatan) kerana pihak mereka juga ada buat kajian-kajian lain dan sebagainya untuk lihat perspektif yang lebih besar.
“Saya cadangkan supaya mekanisme itu bermula dari dalam, perlu ada audit dalaman dan sebagainya… selepas ada dapatan dari audit tersebut barulah kita kembangkan,” katanya lagi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini berkata, wujud penglibatan peguam dalam sindiket penipuan pindah milik tanah yang bekerjasama dengan penjawat awam.
Sebelum ini, tujuh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang antara 17 ditahan disyaki terlibat dengan kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Bagaimanapun, kesemua pegawai berkenaan dikatakan telah dipindahkan ke unit lain sementara proses siasatan berlangsung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.