Oleh: Hilmi Abdul Malik
SUNGAI BULOH: Kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah melibatkan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang dipercayai membabitkan sindiket yang terancang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbuatan itu juga diyakini melibatkan beberapa pihak lain yang terlibat dalam proses berkenaan.
“Saya yakin ia bukan kesalahan seorang dua tetapi ia adalah satu pasukan rangkaian yang perlu dipecahkan.
“Kita dapati semasa proses peralihan daripada manual kepada e-tanah, pegawai terlubat berkomplot dengan beberapa pegawai lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pemeriksaan Skim Pemeriksaan Harga Maksimum dan Jualan Rahmah sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Pasaraya NSK hari ini.
Ditanya mengenai kemungkin sindiket turut melibatkan beberapa daerah lain, pihaknya berkata perkara itu akan diteliti.
Ujarnya, sindiket seumpama itu berubah mengikut situasi atau trend semasa.
“Kita akan siasat kalau hal seperti itu berlaku kerana masalah penipuan hartanah berubah-ubah.
“Kalau dulu data sistem kita tak kemas jadi ketika pertukaran nama dengan kaedah manual, kali ini dia guna pula waktu peralihan teknologi dan ketika penyelenggaraan.
“Jadi kawalan keselamtan terhadap sistem kita harus diperkemas, kawalannya dari segi pencerobohan atau perbuatan khianat oleh pegawai-pegawai juga harus dipantau,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tujuh penjawat awam di Selangor antara 17 ditahan disyaki terlibat dengan kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Bagaimanapun, kesemua pegawai berkenaan dikatakan telah dipindahkan ke unit lain sementara proses siasatan berlangsung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.