comscore
Tumpuan :
Nasional

Tipu pekerja asing, tindakan tidak bertanggungjawab beri kesan buruk kepada industri – Presiden PIKAP

Tangkap layar warga asing berjalan kaki untuk ke balai polis untuk membuat laporan berhubung dakwaan ditipu ejen pekerjaan.

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Tindakan pihak tidak bertanggungawab yang didakwa ejen pekerjaan melakukan penipuan atau mengeksploitasi pekerja asing memberi kesan buruk kepada industri.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP) Fiona Low berkata, tindakan itu turut memberi kesan kepada negara untuk mendapatkan sumber tenaga kerja asing pada masa hadapan.

Kata Fiona lagi, tindakan itu dikhuatiri dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak mempunyai lesen di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246)

“Istilah ejen yang didakwa oleh pekerja asing terbabit boleh menimbulkan kekeliruan kerana ia boleh membawa maksud sebuah syarikat berdaftar atau ianya adalah individu atau perseorangan.

“Ejen terbabit mungkin individu yang tidak berdaftar atau warga asing yang mendakwa boleh menawarkan kerja kepada rakan senegara mereka.

“Terdapat juga kemungkinan ejen terbabit berasal dari negara pembekal dan hanya berurusan terus dengan majikan yang menjanjikan pekerjaan namun perkara sebaliknya berlaku,” katanya kepada Buletin TV3.

Presiden PIKAP, Fiona Low.

Susulan itu, pihaknya berharap agar kerajaan melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap individu mahupun pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Media sebelum ini melaporkan video tular ratusan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan ditipu ejen pekerjaan.

Polis kemudiannya mengesahkan seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun dalam kejadian itu telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini