Oleh: Safwan Sawi
LAHAD DATU: Tinjauan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah mengenal pasti titik panas di kawasan perairan Felda Sahabat serta perairan Kunak, baru-baru ini.
Tinjauan yang diadakan selama dua hari itu juga bertujuan menguji kesiapsiagaan aset Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, turut serta melaksanakan tinjauan itu Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abd Razak Mohamed.
“Hasil tinjauan mendapati tiada sebarang kejadian mencurigakan dikesan dan kelihatan bot-bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti perikanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Untuk rekod, sebanyak 9,321 pemeriksaan vesel dilakukan sepanjang tahun lalu dengan hampir 12,000 individu diperiksa dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata, Zon Maritim Lahad Datu juga telah melaksanakan sebanyak 88 taklimat keselamatan (Preventive SAR) di laut serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Jelasnya Zon Maritim Lahad Datu sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan di laut dan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia, selain akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
“Sebarang aduan dan makluman mengenai kegiatan jenayah serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.