Tumpuan :
Nasional

Tingkatkan penguasaan perundangan, pastikan hubungan antara kaum terpelihara

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy. – Foto fail NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, pihaknya berpandangan dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara, memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.

“Antara lain, di bawah akta-akta seperti berikut iaitu Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan; Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebut perkataan-perkataan atau melakukan perbuatan-perbuatan lain dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama seseorang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan SN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang khusus bagi memelihara keharmonian agama di negara ini bertujuan mengambil kira tercetusnya pelbagai polemik berkaitan agama sejak kebelakangan ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata dan adil.

Diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit, tempat lahir atau jantina.

Bagaimanapun ujarnya sekiranya keadaan mendesak dan Kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula, kementeriannya akan menyokong penuh hasrat tersebut.

Ia bagi mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini