comscore
Tumpuan :
Nasional

Tingkatkan kesedaran mengenai kanser payudara

Pengenalan

Bulan Oktober setiap tahun adalah Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.

Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia ini diraikan dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan pengetahuan dan kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara.

Berikut kami kongsikan beberapa maklumat mengenai kanser payudara.

6 Tanda Kanser Payudara

Tanda kanser payudara mungkin berbeza bergantung kepada individu. Kadangkala, kanser payudara tidak akan menunjukkan sebarang simptom hinggalah pesakit diagnosis dengan kanser tahap 3 atau 4.

Tanda-tanda juga mungkin berbeza mengikut jenis kanser payudara dan sejauh mana kanser telah merebak.

Antara simptom atau tanda kanser payudara adalah seperti berikut :

Ketulan pada payudara atau rasa tidak selesa pada tisu sekelilingnya

Perubahan pada saiz, bentuk atau penampilan payudara

Perubahan pada kulit payudara

Puting payudara terbalik ke dalam daripada menghala ke luar

Kulit payudara mengelupas, kerak di kawasan kulit berpigmen

Kelihatan bintik kemerahan pada kulit payudara

Segala tanda ini boleh dilihat atau dirasai sendiri terhadap kesihatan payudara.

Pemeriksaan payudara dalam skala yang kerap dapat membantu memantau jika terdapat sebarang tanda-tanda kanser berkenaan.

Penyebab Kanser Payudara

Beberapa faktor atau penyebab yang telah dikenal pasti menyumbang kepada kanser payudara yang terbahagi kepada 2 kategori:

Faktor Risiko Tidak Boleh Di Kawal

Umur – Semakin berumur semakin tinggi kemungkinan untuk dapat kanser payudara. Wanita berumur 50 tahun ke atas mempunyai 8-10 kali ganda kemungkinan mendapat kanser berbanding umur muda

✤ Wanita mempunyai 100 kali ganda risiko berbanding dengan lelaki

Sejarah Keluarga – Lebih berisiko sekiranya ada ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.

Tempoh Haid – Lebih awal datang haid yang pertama, lebih berisiko mendapatnya semasa berumur

Faktor Risiko Boleh Di Kawal

Penyusuan – Wanita yang menyusukan anak dalam tempoh 1-2 tahun akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara

Alkohol – Wanita yang mengambil minuman beralkohol, berisiko 1.5 kali ganda lebih tinggi daripada wanita yang tidak mengambil alkohol untuk dapat kanser payudara

Senaman – Wanita yang melakukan senaman berterusan dapat mengurangkan risiko payudara.

Cara Membuat Saringan Kanser Payudara


1. Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

Anda boleh membuat pemeriksaan kendiri menerusi langkah-langkah berikut:

Langkah 1 – Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payudara.

Langkah 2 – Rasa sebarang perubahan secara berbaring.

Langkah 3 – Periksa puting untuk sebarang pendarahan atau lelehan.

Langkah 4 – Rasa sebarang ketulan di bawah ketiak.

Langkah 5 – Ulangi setiap langkah yang sama di atas bagi payudara sebelah.

PSP seharusnya dibuat sebulan sekali (untuk mereka yang masih mempunyai haid). Waktu yang sesuai ialah 7 – 10 hari selepas haid.

Untuk wanita yang telah putus haid, ambil satu tarikh yang mudah diingati dan lakukan setiap bulan sama ada hari pertama atau terakhir bulan tersebut

Jika mempunyai tanda-tanda kanser payudara seperti di atas, ambil tindakan segera dengan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan berhampiran.

2. Pemeriksaan klinikal payudara (PKP)

♦ Pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota kesihatan terlatih atau doktor bagi memeriksa payudara

♦ Wanita dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan payudara oleh anggota perubatan atau kesihatan yang terlatih pada setiap tahun

3. Mammogram

‘Mammogram’ adalah salah satu ujian yang dijalankan bagi mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin x-ray yang direka khas

Mammogram dapat mengesan kanser payudara pada peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai pada payudara. Ia juga berkesan untuk meneliti kesihatan am payudara

Caranya dilakukan dengan menekan payudara di antara dua kepingan logam hingga menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan

Mammogram juga boleh mengukur saiz dan penyebaran kanser di payudara serta mengesan kanser pada payudara di bahagian sebelah

Subsidi Ujian Saringan Mamogram


Pengenalan

Subsidi kepada wanita yang berkelayakan bagi menjalani saringan awal ujian mammogram.

Saringan awal mammogram ini penting untuk meneliti kesihatan payudara serta mengesan ketulan payudara di peringkat awal yang mendorong kepada kanser payudara.

Untuk maklumat lanjut, rujuk Ujian Saringan Mammogram

Syarat Kelayakan Subsidi Ujian Saringan

♦ Warganegara Malaysia / Penduduk tetap

♦ Berumur 35 – 70 tahun

♦ Wanita berumur 35 – 39 tahun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan

♦ Pendapatan isi rumah < RM10,000 – PERCUMA

♦ Pendapatan isi rumah > RM10,000 – Kelayakan subsidi RM50 daripada jumlah kos rawatan

Cara Memohon

Wanita yang ingin menjalani ujian mammogram boleh mengunjungi mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh Malaysia.

Pemohon yang layak akan menjalani pemeriksaan klinikal payudara di Klinik Nur Sejahtera LPPKN terlebih dahulu sebelum dirujuk untuk menjalani ujian mammogram.

Carta Aliran Bagi Program Subsidi Ujian Mammogram

4. Ultrasound

Ultrasound payudara dijalankan bagi wanita yang berumur kurang daripada 40 tahun. Ujian ini dijalankan bagi melihat bahagian dalam payudara pesakit bagi mengesan kanser payudara.

5. Magnetic Resonance Imaging (MRI)

MRI digunakan bagi wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara. Wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara perlu menjalani mammogram dan MRI bermula dari umur 30 tahun

Cara Kurangkan Risiko Kanser Payudara

♦ Mulakan PSP hari ini

♦ Buat PSP secara berkala

♦ Makan makanan kurang berlemak khususnya lemak haiwan

♦ Lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat

♦ Lakukan senaman yang mencukupi

♦ Kekalkan berat badan yang unggul

♦ Sekiranya keluarga terdekat mempunyai kanser payudara, lakukan ujian mammogram

Rawatan Bagi Kanser Payudara

Wanita yang dikesan menghidap kanser payudara diberi rawatan selepas dibuat penilaian lengkap oleh doktor. Sebahagian pesakit akan dibedah sebelum diberi rawatan kemoterapi.

Sekiranya pakar bedah memutuskan untuk mengecilkan saiz kanser sebelum pembedahan, rawatan kemoterapi atau radio terapi akan diberi terlebih dahulu.

1. Pembedahan – Jenis pembedahan untuk membuang tisu kanser payudara

✤ Pembuangan ketulan kanser pada payudara

✤ Pembuangan sebahagian payudara

✤ Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara 

✤ Pembuangan payudara radikal diubahsuai. Pembedahan pembuangan seluruh payudara yang terlibat

✤ Pembuangan payudara radikal. Pembuangan seluruh payudara dan otot di bahagian bawah payudara

✤ Pembedahan bahagian ketiak

2. Kimoterapi 

Kimoterapi bertindak sebagai ubat pembunuh sel kanser yang diberi melalui salur darah atau secara pil memakan. Ubat kimoterapi memasuki salur darah ke seluruh badan.

Sekiranya kimoterapi diberi selepas pembedahan, ia dapat mengurangkan kemungkinan kanser berulang. Kimoterapi juga merupakan rawatan utama yang diberi bila kanser telah merebak menjangkaui luar payudara dan di kawasan ketiak atau rebakan meluas selepas rawatan pertama.

3. Terapi Radiasi 

✤ Rawatan melibatkan penggunaan pancaran bertenaga tinggi (x-ray) untuk membunuh atau mengecut sel-sel kanser.

✤ Rawatan ini digunakan untuk memusnahkan sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara

✤ Rawatan ini diberi 5 hari seminggu sebagai pesakit luar dan bermula sebulan selepas pembedahan

✤ Kesan sampingan utama rawatan ini adalah bengkak dan merasa berat pada payudara.

4. Terapi Hormon 

✤ Hormon estrogen menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser payu dara pada sesetengah wanita

✤ Rawatan ini untuk menghalang atau mengurangkan paras estrogen digunakan untuk merawat kanser payudara

✤ Ubat tamoxifen bertindak untuk menghalang kesan estrogen

Antara Kempen Kesedaran Kanser Payudara Sepanjang Oktober

Orang ramai boleh menyertai kempen Pinktober sepanjang bulan Oktober ini

Antara kempen dan program yang dijalankan sempena Pinktober, antaranya:

The Pinky Run, Anjuran Beaute Library
Pinktober 12K Run, Anjuran JomRun
Kitar Kain Kita, Anjuran Media Prima Berhad
Loading...
Terkini