comscore
Tumpuan :
Nasional

Tingkat pengurusan sumber manusia dengan teknologi digital – Fadillah

 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Proses pembangunan dan pengurusan sumber manusia boleh dipertingkatkan menerusi perkembangan terkini dan penggunaan peralatan serta teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui automasi rutin tugasan, kumpulan sumber manusia yang profesional boleh memberi tumpuan kepada inisiatif strategik dan mengoptimumkan pembangunan bakat tenaga kerja mereka.

“Peralihan ke arah ‘remote work’ (bekerja dari rumah) dan kerja fleksibel dipacu oleh pandemik COVID-19 dijangka berterusan.

“Syarikat perlu membangunkan dasar dan amalan untuk mengurus pasukan dari jauh, memastikan kebajikan pekerja dan mengekalkan produktiviti,” katanya ketika berucap pada Persidangan Strategi Pengurusan Sumber Manusia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia di sini, hari ini.

Persidangan dua hari bermula hari ini bertujuan mewujudkan forum dinamik untuk bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik khusus kepada keperluan pucuk pimpinan PKS.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, masa depan amalan sumber manusia yang berkesan di negara ini mungkin dibentuk oleh beberapa trend utama dan perkembangan teknologi.

Ujarnya, dengan memberi tumpuan ke arah itu selain mewujudkan tempat kerja yang inklusif dan dinamik, syarikat di negara ini terutama PKS boleh membina daya tahan serta tenaga kerja berdaya saing yang memacu kejayaan jangka panjang.

“Syarikat perlu memberi keutamaan dalam mewujudkan pengalaman pekerja yang positif untuk menarik, mengekalkan dan memperkasa kumpulan bakatnya.

“Ini termasuk memberi peluang untuk pembangunan profesional, menggalakkan keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan serta memupuk budaya tempat kerja yang positif.

“Sejak kebelakangan ini, saya mendapati terdapat peningkatan keperluan untuk menyokong kesejahteraan pekerja dan kesihatan mental,” katanya.

Ketika perubahan bergerak semakin pantas, Fadillah berkata, pembelajaran berterusan dan pembangunan akan menjadi lebih penting.

Justeru, sesebuah organisasi perlu membuat pelaburan dalam program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula pekerja untuk memastikan tenaga kerja mereka kekal berdaya saing serta boleh menyesuaikan diri dengan cabaran baharu.

Pada masa sama, beliau mahu organisasi membina kepercayaan dengan pekerja dengan bersikap telus mengenai dasar, keputusan dan mengekalkan standard etika yang tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini