Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC) sepanjang tempoh tiga tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, langkah itu berikutan kenaikan kes kebakaran yang diterima tahun lalu iaitu 34,389 kes berbanding 28,489 kes direkodkan tahun sebelumnya.
“Saya nampak selepas pasca pandemik COVID-19, kita agak kurangkan tindakan penguatkuasaan (FC) sebab keadaan ekonomi dan ‘survivability’ (kebolehmandirian) pihak industri yang berada di tahap yang perlu kita empati.
“Tetapi dalam keadaan ekonomi mula pulih dan industri kembali beroperasi normal, kita dapati berlaku lonjakan kebakaran tahun lalu seiring perkembangan ekonomi. Untuk premis ditetapkan yang perlukan FC, kita akan laksanakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan 2024 JBPM, di sini hari ini.
Beliau menyasarkan 65 peratus premis yang wajib mendapatkan FC akan memiliki sijil berkenaan tahun ini.
Untuk rekod, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 5,227 premis daripada 8,809 premis yang ditetapkan mempunyai FC, manakala 3,254 premis dalam proses mendapatkan sijil tersebut.
Mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1998 (Akta 341), pemilik bangunan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya gagal memastikan premis memperolehi FC.
Mengulas mengenai sistem ePremis yang turut dilancarkan pada majlis sama, Nor Hisham berkata, pelaksanaan sistem bersepadu itu memudahkan akses kepada perkhidmatan antaranya permohonan FC, Perakuan Pepasangan Keselamatan Kebakaran, Perakuan Keselamatan Kebakaran dan Perakuan Pelesenan Penggunaan Premis.
“Dengan adanya sistem ePremis ini, ianya akan memudahkan urusan golongan profesional dan syarikat pemohon untuk berurusan dengan pihak jabatan dalam sesuatu proses permohonan, kelulusan dan semakan dokumen tanpa ada prejudis dan penuh etika integriti,” katanya.
Tambahnya, bagi menggerakkan inisiatif digitalisasi dengan lebih agresif, JBPM akan memodenkan pusat kawalan ‘Command, Control Communications, Computers and Intelligence’ (C4iFRDM) untuk tujuan pengurusan operasi dan kecemasan dengan peruntukan pembangunan projek sebanyak RM49 juta.
Bagi fasa satu, pembangunan sistem itu akan dilaksanakan sepenuhnya di Pusat Pengurusan Operasi (PPO) yang dijenamakan semula dengan nama ‘National Fire Command Control Center (NFCCC).
Sementara itu, Nor Hisham optimis sasaran 63 peratus bagi ‘Purata Response Time Kebangsaan’ (NART) 9 minit 30 saat akan dicapai.
Sasaran itu ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) JBPM pada tahun ini dan tahun akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.