Tumpuan :
Nasional

Tingkat Had Pelaburan ASB, ASB 2 Lonjak Kekayaan Bumiputera

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Peningkatan had pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) kepada RM300,000 daripada RM200,000 sejajar dengan mandat Permodalan Nasional Bhd (PNB) meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera.

Dalam Bajet 2023 diumumkan bahawa had pelaburan ASB dan ASB 2 akan dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM200,000 bermula pada 2023.

“PNB amat berbesar hati kerana diberi peluang dalam usaha menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia juga selari dengan mandat PNB untuk meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, demi kemakmuran negara,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dalam satu kenyataan.

PNB berkata, maklumat terperinci berkenaan kenaikan had pelaburan ASB dan ASB 2 akan diumumkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, dalam masa terdekat.

Mengenai Bajet 2023, PNB menyambut baik pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ia menyifatkan, Bajet 2023 adalah suatu bajet yang amat menyeluruh serta progresif yang menyentuh pelbagai aspek ekonomi, pasaran modal, keusahawanan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini