Tumpuan :
Nasional

Tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang ditenggelami air

Tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang, Kuala Krai ditenggelami banjir setinggi dua meter susulan limpahan Sungai Pertang akibat hujan berterusan malam tadi. FOTO/ Ihsan pembaca Facebook

KUALA KRAI: Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang yang berusia lebih 52 tahun ditenggelami air setinggi dua meter akibat limpahan air Sungai Pertang.

Tok Siak Masjid Mukim Chenulang, Mohd Adnan Mat Husin berkata, kedudukan masjid yang terletak hanya kira-kira 100 meter (m) dari Sungai Pertang menyebabkan masjid berkenaan sering dilanda banjir akibat limpahan air sungai pada setiap musim tengkujuh.

Katanya, apabila musim tengkujuh melanda dan hujan berterusan, bahagian bawah bangunan masjid dua tingkat itu mudah ditenggelami air.

“Pada jam 2.30 petang tadi, perkarangan masjid mula dinaiki air sehingga menenggelamkan tingkat bawah masjid, namun tidak ada peralatan yang rosak disebabkan ahli jawatankuasa (AJK) sudah membuat persiapan awal termasuk menyimpan karpet.

“Masjid Mukim Chenulang ini digunakan oleh penduduk membabitkan empat kampung iaitu Kampung Chenulang, Kampung Limau Madu, Kampung Dusun Bang, Kampung Pasir Jering, dan Kampung Kebun Pisang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, walaupun tingkat bawah masjid tenggelam, namun jemaah masih boleh menunaikan solat berjemaah di tingkat atas masjid dengan melalui jejantas di bahagian atas untuk menunaikan solat.

“Masjid ini boleh memuatkan lebih 300 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu, pada satu-satu masa.

“Setiap kali tengkujuh hanya tingkat bawah masjid sahaja yang ditenggelami air, namun ketika bah kuning pada tahun 2014 ia menenggelamkan keseluruhan masjid,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini