KLANG: Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak mahu melayan syarat disyorkan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin supaya parti itu meninggalkan DAP jika mahu bekerjasama dengan PAS.
Sebaliknya, Mohamad berkata, keputusan untuk terus bekerjasama dengan DAP diambil dari ketetapan PAS sendiri pada 2008 dan 2013.
“Kami ikut jejak langkah bersama dengan DAP pada 2008 dan 2013 dulu. Itu seruan (dari Hashim) yang kita tak mahu layan.
“PAS ini dulu sudah bekerjasama dan memuji begitu melambung ke langit pada 2008 dan 2013 (PRU ke-12 dan PRU ke-13),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Pidato Presiden serta merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Hashim meminta AMANAH meninggalkan DAP sekiranya mahu bekerjasama dengan PAS, sebagai membalas syarat ditetapkan Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari.
Adly pada sidang media di Konvensyen Wanita Amanah semalam berkata, AMANAH boleh menerima PAS untuk bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan jika parti itu bersedia menyokong kepimpinan Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ia juga perlu mengikis ‘naratif 3R’ (agama, raja, dan kaum).