Oleh : Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR : Tindakan tegas dan segera perlu dilakukan bagi menamatkan kezaliman rejim Zionis kerana jika dunia tidak berupaya melakukan apa-apa, bermakna dunia mengizinkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza di Palestin.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu bagi menamatkan konflik yang berlarutan.
Menurut Anwar, beliau telah menghubungi beberapa ketua negara untuk menyatakan langkah tegas yang perlu diambil untuk menghentikan konflik di Gaza dan pendirian Malaysia adalah jelas bahawa hak rakyat Palestin harus dikembalikan.
”Kita nampak keresahan dan nampak sudah ada jalan buntu kerana Israel diberi dokongan penuh oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
“Sesuatu yang lebih segera harus dilakukan, Barat atau Eropah mengambil sikap kepura-puraan, keras terhadap Rusia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, beliau akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN dengan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan berangkat ke Jeddah malam ini atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang berkenaan.