Tumpuan :
Nasional

Tindakan tegas kepada syarikat e-hailing dan p-hailing, ambil pekerja tanpa ikut garis panduan – GEM

Foto hiasan

Oleh : Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Tindakan lebih tegas perlu segera dilaksanakan kerajaan terhadap syarikat atau platform e-hailing dan p-hailing sekiranya didapati melanggar etika dan Prosedur Operasi Standard, SOP termasuk dalam memberi kelulusan kepada pemohon yang ingin menjadi runner atau pemandu grab syarikat itu.

Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal, berkata, ini kerana ada antara syarikat atau platform sewenang-wenangnya tidak mengikuti syarat kelayakan yang digariskan bagi meraih keuntungan semata-mata.

Artikel berkaitan: Pelanggaran undang-undang tidak boleh dihalalkan – Aktivis

Ia termasuk membenarkan pemohon yang tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta tidak memiliki insurans keselamatan untuk bekerja dengan mereka.

“Undang-undang untuk p-hailing ni dia memang sudah buat pindaan pada bulan Januari atau Februari 2023 lah dan sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Cuma garis panduan yang khusus belum dikeluarkan lagi.

“Agensi Awam Pengangkutan Darat, APAD bagi komitmen untuk keluarkan garis panduan ini dalam masa setahun selepas akta itu dipinda baru-baru ini jadi untuk syarikat ini.

“Pada masa ini untuk yang penghantaran makanan dan barangan mereka belum ada akta khusus yang boleh dikenakan ke atas mereka sebab garis panduan atau peraturan ini masih belum diwartakan atau dikeluarkan oleh kita punya kementerian lah iaitu Kementerian Pengangkutan dibawah Agensi Pengangkutan Awam Darat dibawah Akta 715 “, katanya kepada Buletin TV3.

Justeru beliau mendesak kerajaan menangani isu ini dengan segera dan juga secara holistik.

Selain melaksanakan garis panduan yang lebih komprehensif agar syarikat-syarikat ini tidak memperhambakan rakyat Malaysia.

“Syarikat-syarikat ini perlu dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan membenarkan rider-rider ataupun penghantar-penghantar makanan barangan ini boleh beroperasi di bawah platform mereka tanpa mereka membuat semakan-semakan seperti cukai jalan, perlesenan, dan juga insurans dan lain-lain.

“Jadi syarikat perlu dipertanggungjawabkan dahulu sebelum hukuman itu dikenakan kepada penghantar-penghantar ini,” ujarnya.

Kata Jose lagi platform atau syarikat berkaitan juga harus lebih peka dan bertanggungjawab ketika memilih pekerja berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan.

Bukan sewenang-wenangnya mengupah pekerja semata-mata untuk memenuhi keperluan syarikat berkenaan.

Mengulas tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang menyita sebuah motosikal pekerja p-hailing seperti yang tular berikutan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans, Jose berkata JPJ tidak boleh dipersalahkan kerana mereka mempunyai hak dan kuasa untuk menahan atau menyita.

Artikel berkaitan: Motosikal disita: Penunggang p-hailing tular didakwa di mahkamah Disember depan

“Tetapi perkara ini harus dilihat daripada sudut bagaimana ia boleh berlaku? Sedangkan jika diikutkan rider ini pastinya untuk melaksanakan kegiatan penghantaran makanan ini perlu berdaftar dengan platform ataupun syarikat.

“Pada pandangan kami syarikat ini perlu menunjukkan kebertanggungjawaban agar sesiapa sahaja yang ingin berdaftar untuk melaksanakan kegiatan penghantaran makanan ataupun apa sahaja perlu lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan syarat-syarat yang perlulah sebelum mengizinkan rider-rider ini untuk beroperasi melalui platform mereka” jelasnya.

Rabu lalu tular video memaparkan kelibat penghantar makanan yang sedang berjalan di bahu jalan raya sambil membawa beg makanan dan memakai helmet selepas motosikalnya disita JPJ.

Ia meraih simpati netizen yang kasihan melihat nasib malang lelaki itu tanpa mengetahui punca sebenar mengapa motosikalnya disita JPJ dalam Op Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai selasa lalu.

Pihak JPJ Negeri Sembilan kemudian memaklumkan sitaan dibuat kerana LKM tamat tempoh dan tiada insurans.

JPJ sentiasa memandang serius terhadap setiap kesalahan dan individu yang mengabaikan undang-undang atau peraturan akan dikenakan tindakan sewajarnya bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya lain.

Loading...
Terkini