Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas menanti premis yang gagal mencapai tahap kebersihan yang optimum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan penguatkuasaan yang serius akan diambil seperti tidak menyambung lesen perniagaan.
Tambahnya, kerajaan juga akan memperketatkan perundangan berkaitan kebersihan premis makanan di Wilayah Persekutuan dengan serta-merta.
“Pada tahun ini sahaja kita telah menutup 417 premis dan mereka perlu membuat pembersihan dan jika gagal melaksanakannya, mungkin kita akan menggantung lesen mereka sehingga pembersihan dilakukan.
“Pembersihan ini banyak aspek dari sudut pengurusan sisa pepejal seperti tandas perlu dibersihkan, walaupun dilihat kecil tetapi sebenarnya ia juga menjadi tarikan pelancong untuk datang ke negara,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega di ibu negara hari ini.
Tambahnya pada Mesyuarat Ketua- Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan, beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur ( Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif ) untuk memastikan penguatkuasaan dibuat kepada premis-premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan tentang kebersihan mereka.
Jelasnya ia adalah sebahagian dari inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan oleh Perdana Menteri.
Maimunah juga berkata tindakan serius juga akan dikenakan kepada premis yang masih berdegil.
“Saya berpendapat jika mereka sudah tiga kali berkeras dan enggan melakukan pembersihan, kita akan batal terus lesen mereka,”katanya.
Tambah Dr Zaliha di Kuala Lumpur, sebanyak 2,044 tan sehari dihasilkan oleh warga kota dengan kos yang perlu ditanggung oleh DBKL sebanyak kira-kira RM226 juta setahun.
“Ini adalah satu belanja yang sangat besar dan sekiranya kita boleh kurangkannya, mungkin perbelanjaan tersebut boleh digunakan kepada pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.