KUALA LUMPUR: Penjawat awam diseru agar berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelak terjerat dengan hutang yang membebankan.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ia satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya penjawat awam didapati berdepan keberhutangan yang tinggi sehingga 10 kali ganda gaji bulanan dibawah Sub-Peraturan 13 (7) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Apa yang dimaksudkan keberhutangan melampau ini, pada bila-bila masa keberhutangan (penjawat awam) 10 kali gaji bulanan.
“Kedua, penghutang penghakiman tidak dapat dijelaskan tempoh satu bulan atau pegawai diisytiharkan bankrap oleh mahkamah atau badan berkuasa. Ini kita sebut sebagai satu kesalahan kepada penjawat awam,” jelasnya.
106 pegawai diambil tindakan
Sehingga tahun 2023, ujar Shamsul Azri seramai 106 pegawai awam telah dikenakan tindakan tata tertib atas kesalahan bankrap disebabkan keberhutangan melampau.
Mengikut pekeliling ditetapkan tambah Shamsul Azri, pendapatan bersih penjawat awam hendaklah berada sekurang-kurangnya 40 peratus daripada gaji.
Walau bagaimanapun, had itu dikecualikan bagi pinjaman melibatkan pendidikan dan perumahan.
“Ketua jabatan perlulah memantau gaya hidup dan mengambil peduli pegawai dibawahnya. Ketua jabatan juga boleh merujuk pegawai kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Atau merujuk pegawai psikologi dan mesti ketua jabatan hendaklah memastikan setiap masa gaji bersih (pegawai bawahan) tidak kurang daripada 40 peratus. Ini antara tindakan preventif perlu diambil oleh ketua jabatan,”katanya lagi.
Gaya hidup antara punca
Mengulas lanjut ujar Shamsul Azri lagi, segelintir penjawat awam yang terjerumus dengan hutang disebabkan gaya hidup berlebihan serta kurangnya literasi kewangan.
“Satunya (disebabkan) gaya hidup, saya selalu berkongsi dengan penjawat awam bahawa kita jangan cuba bandingkan hidup kita dengan orang lain.
“Sebab itu saya selalu meminta ketua jabatan atau pegawai kanan untuk sentiasa menasihatkan pegawai bawahan pergi ke AKPK, memang ada kursus khas menerangkan tatacara mengurus kewangan peribadi dan keluarga,” katanya lagi.
Literasi kewangan diperkasa
Di sudut kerajaan pula tambahnya lagi, program literasi kewangan akan terus diperkasakan dalam kalangan penjawat awam agar tidak terjerat dengan hutang melampau.
“Jadi saya nasihatkan penjawat awam hindarilah hutang, hutang kepada keperluan sahaja macam hutang anak nak belajar atau hutang beli rumah.
“Benda yang keperluan dalam hidup sahaja, tapi sekarang semua orang berhutang beli telefon bimbit pun berhutang.
“Saya akan minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkolaborasi dengan AKPK ini supaya memberi lebih pemahaman tentang pengurusan kewangan dan juga aspek-aspek berkaitan dengan kerahsiaan peribadi,”tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama TV3 di ibu negara semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.