Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tindakan penguatkuasaan terhadap pesalah tetap diambil

SEREMBAN: Tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya walaupun pemegang lesen memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kaedah serta sistem yang mampu mengesan pesalah sekaligus membolehkan tindakan seperti penggantungan atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu dilakukan.

“Itu tak ada kesan, kalau mereka dah ada kesalahan kalau katakan ada kes kemalangan dan sebagainya, hukuman nak gantung lesen mereka, kita akan gantung lesen mereka…bukan maksudnya dia dah bayar tak akan kena gantung,” katanya ketika ditemui selepas melawat JPJ Seremban bersempena hari pertama pelaksanaan inisiatif berkenaan siang tadi.

Jelasnya, kerajaan juga memulakan dasar baharu membenarkan pemegang lesen memandu bagi semua kategori mendapat diskaun 10 peratus sekiranya memperbaharui untuk tempoh 10 tahun.

Tempoh 10 tahun itu ujarnya diperkenalkan untuk memudahkan orang ramai dan dilihat munasabah berdasarkan maklum balas dan permintaan orang ramai yang mahu tempoh memperbaharui lesen memandu mereka dipanjangkan.

Tambahnya, urusan pembaharuan hanya boleh dilakukan di kaunter JPJ sahaja atau melalui Kiosk JPJ menerusi aplikasi MyJPJ buat masa ini dan akan diperluaskan kepada rakan strategik lain dalam masa terdekat selepas sistem masing-masing dinaik taraf.

Dan ketika tinjauan dilakukan, rata-rata pengguna jalan berpuas hati dengan proses pembaharuan lesen yang mudah dan efisien selain hanya dalam tempoh lima minit.

Memuji inisiatif baharu kerajaan itu, mereka yang hadir seawal jam 8 pagi itu berpandangan pelaksanaan tempoh pembaharuan LMM 10 tahun itu wajar dilakukan ekoran ia memudahkan rakyat.

“Kadang-kadang kan kita macam lupa kan, sebab kita tak fokus pun benda ni jadi kita kalau dah renew 10 tahun kira lama la, kira macam masalah tu dah tak banyak la dekat kita…kadang-kadang renew setahun dua tahun kadang-kadang kita dah luput setahun tu kita lupa, silap-silap bawa kereta lesen dah mati 2,3 tahun baru kita ingat,” kata seorang pekerja swasta, Mohamad Zakri Mazeri.

“Very good la..its very good for especially like people who work or any housewife people we can save alot of time to come over here to renewla macam ni. I think less than 5 minutes i baru datang lepas tu dia sudah panggil nama..ya very good la..cepat,” kata surirumah, Goh Huey Chung.

Selain berpeluang menikmati diskaun 10 peratus, mereka juga lega apabila tidak lagi risau akan terlupa memperbaharui lesen masing-masing untuk tempoh yang lebih lama.

Loading...
Terkini