Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA), susulan tumpahan minyak diesel dari tangki diesel sebuah treler yang bocor akibat kemalangan di Lebuh Raya ELITE KM35 (arah utara) dari Nilai Utara ke Bandar Serenia pagi semalam.
Dalam kejadian kira kira jam sembilan pagi itu, berdasarkan maklumat yang diterima oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pasukan peronda menemui treler itu dengan tangki bahan api dieselnya bocor sehingga menyebabkan sisa minyak memasuki longkang berhampiran.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dalam kenyataannya memaklumkan semakan LUAS mendapati bahan cemar terbabit berpotensi menyebabkan gangguan operasi LRA Bukit Tampoi dengan jarak dianggarkan 1.19km dari lokasi insiden dan LRA Labohan Dagang pada jarak 11km sekiranya sisa minyak terbabit memasuki ke Sungai Semarang seterusnya ke Sungai Langat.
“Pihak PLUS telah mengambil tindakan awal dengan meletakkan serbuk kayu di lokasi tumpahan minyak. Manakala pihak LUAS juga turut meletakkan ‘oil pad’ sebagai langkah pencegahan di tapak bagi kawalan aliran sisa minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya siasatan pihaknya telah dijalankan di sepanjang longkang berhampiran namun tidak menemukan sebarang kesan pencemaran sisa minyak.
Jelasnya lagi, keadaan longkang, takungan pelincir dan jalan raya di kawasan berkenaan juga telah kering dan tidak berbau.
Beliau berkata, pihaknya turut memantau dan melakukan pemeriksaan ke atas kerja-kerja kontraktor pembersihan PLUS yang telah melaksanakan pembersihan sisa habuk kayu yang digunakan di sepanjang longkang. Tambahnya kerja-kerja pengorekan sisa di longkang yang terjejas turut dipantau sehingga selesai.
Sehingga semalam, semakan LUAS mendapati tiada kesan bau dan sisa minyak di lokasi kemalangan dan tiada sebarang potensi pencemaran yang boleh menjejaskan operasi LRA.