comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan pantas bomba dan PLUS elak sumber air tercemar

Tumpahan cecair getah akibat kemalangan di Kilometer 435.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dari Rawang ke Sungai Buaya, malam tadi. Foto: NSTP/Ihsan LUAS

HULU SELANGOR: Potensi pencemaran sumber air berlaku, susulan kemalangan yang mengakibatkan tumpahan cecair getah di Kilometer 435.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara dari Rawang ke Sungai Buaya, berjaya dielakkan berikutan tindakan pantas  pihak bekuasa.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, nahas jam 10.30 malam semalam membabitkan sebuah lori membawa muatan cecair getah.

Berikutan itu, pasukan bomba Rawang bersama PLUS dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengawal tumpahan dengan meletakkan serbuk kayu serta membuat halangan supaya sisa cecair getah tidak memasuki longkang berhampiran.

“Pasukan LUAS juga tiba semasa kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan. Keseluruhan persekitaran dibuat pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada sebarang risiko pencemaran kepada sumber air.

“Semakan awal mendapati lokasi kemalangan terletak bersebelahan Sungai Serendah dan ia berpotensi mengakibatkan pencemaran sumber air di Sungai Selangor, seterusnya memberi kesan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada jarak sekitar 17.7 kilometer dan LRA SSP1, SSP2 serta SSP 3 pada jarak sekitar 24 kilometer sekiranya tumpahan ini tidak dibersihkan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Agensi itu berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada aliran sisa cecair tumpahan berkenaan memasuki longkang berhampiran setakat ini.

“LUAS akan terus memantau pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di tapak dan akan memastikan sisa-sisa berkaitan dibersihkan sepenuhnya dengan segera.

“LUAS turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan bomba Rawang dan pihak PLUS di atas tindakan pantas mengawal situasi tumpahan yang telah berlaku,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini