comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan paling tegas jika berlaku buli di institusi pendidikan MARA – Dr Asyraf

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini memberi amaran beliau akan mengambil tindakan paling tegas jika berlaku kejadian buli membabitkan warga Institut Pendidikan MARA (IPMa).

Sambil menyuarakan kekecewaannya terhadap dakwaan berlaku kes dera pelajar di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang sama, beliau turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes buli.

“Langsung tiada iktibar dengan kes lalu yang menyebabkan kematian. Kalau berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA termasuklah di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), tiada kompromi.

“Saya dah tegaskan prinsip saya “You Touch You Go!” (Anda sentuh, anda pergi!)… tak perlu nak jumpa saya buat rayuan atau apa juga untuk raih simpati kerana sudah diperingatkan berulang kali,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

November tahun lalu, Asyraf Wajdi memberi jaminan MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli jika dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di MRSM.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan sesekali menutup sebarang perilaku curang yang dilakukan oleh mana-mana pelajar walaupun anak orang kenamaan.

Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan mengenai kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.

Semalam, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang cedera apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini