comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan menteri kurang profesional – MCW

Oleh: Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa membebaskan pelancong China yang ditahan Jabatan Imigresen tanpa kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian, disifatkan tidak profesional.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, King Sing juga sewajarnya melaporkan terus kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) jika berlaku salah laku untuk tindakan lanjut.

“Beliau tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara. Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar politik negara atau mempunyai matlamat peribadi?

“Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum rakyat membuat tafsiran liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jais, sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai permintaan rasuah oleh pegawai imigresen, perkara berkenaan perlu dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini adalah bidang kuasa SPRM dan lebih relevan melibatkan SPRM dalam proses untuk memastikan pengamatan yang lebih sahih, siasatan yang profesional dan tegas,”jelasnya.

Sebelum ini dilaporkan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa terdapat amalan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen selepas tular dakwaan berlaku kekecohan membabitkan dirinya di KLIA itu.

Dakwanya lagi ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan, termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Loading...
Terkini