Tumpuan :
Nasional

Tindakan label MADANI Jahiliah amat keterlaluan – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Tindakan melabelkan pendekatan MADANI sebagai MADANI Jahiliah dan seumpamanya adalah amat keterlaluan dan mendukacitakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau amat kesal dengan sikap sesetengah pemimpik politik yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan MADANI yang menjadi gagasan negara hari ini.

“Hakikatnya, konsep MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu gagasan murni untuk mengangkat semula martabat negara.

“Konsep MADANI telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, konsep MADANI juga menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul, holistik dan komprehensif dari aspek rohani dan jasmani.

Pada masa sama, Mohd Na’im menyeru umat Islam supaya berwaspada dengan usaha mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.

“Sempena lembaran baharu tahun 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap ketidakhadiran Anwar di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir menunjukkan perjuangannya yang membawa slogan MADANI adalah bukan MADANI Islam yang sebenar.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, perjuangan Perdana Menteri bergantung kepada MADANI Jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini