Tumpuan :
Nasional

Tindakan kompaun hanya kepada pengendali ERA FM, bukan individu

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Tindakan kompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap pengendali ERA FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd berhubung kandungan jelik minggu lalu tidak melibatkan individu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat izin Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kompaun tersebut dikenakan ke atas sebuah syarikat, bukan individu, memandangkan syarikat ini berpendapatan tinggi setiap tahun, berbeza dengan individu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri, hari ini.

Tambah Fahmi, tindakan terhadap pengendali terbabit dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan berbeza dengan isu membabitkan KK Mart sebelum ini.

“Ada yang membandingkan kes KK Mart yang dikenakan denda RM60,000, tetapi ia tertakluk di bawah Kanun Keseksaan. Undang-undang itu berbeza dan tidak melibatkan kandungan dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai tiga penyampai radio terbabit, Fahmi berkata mereka berdepan tekanan besar susulan insiden berkenaan.

“Saya ada bercakap dengan mereka dan mendapati mereka menghadapi tekanan yang hebat. Sebagai selebriti, mereka sentiasa menjadi perhatian umum.

“Namun, akibat insiden ini dan kandungan yang dimuat naik di laman rasmi TikTok Era, pelbagai kesan negatif timbul terhadap mereka.

“Saya meminta mereka bersabar dan bertenang dalam menghadapi dugaan ini. Kita tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mereka kerana mereka sudah melalui banyak cabaran,” katanya lagi.

Terdahulu, MCMC memaklumkan bahawa lesen pengendali stesen radio ERA FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd, tidak akan digantung.

Sebaliknya, syarikat itu dikenakan kompaun berjumlah RM250,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini