Hari Kebaikan Sedunia atau World Kindness Day diraikan pada 13 November setiap tahun bagi memupuk dan menyebarkan kebaikan dan nilai-nilai kemanusian di seluruh dunia.
Dipelopori oleh World Kindness Movement (WKM), inisiatif yang bermula pada tahun 1998 ini disokong oleh pelbagai negara yang berkomitmen untuk membina dunia yang lebih baik melalui tindakan kebaikan dan keadilan.
Hari Kebaikan Sedunia bukan hanya tentang tindakan besar, tetapi juga tindakan kecil yang boleh membawa perubahan positif kepada hidup orang lain kerana setiap tindakan kebaikan kita, walau sekecil mana pun, memiliki impak yang besar.
Membuat perkara yang baik adalah merentasi agama dan bangsa. Ia mempunyai konteks yang sangat luas daripada hanya memberikan senyuman, mengalihkan halangan di jalanan sehinggalah membantu mereka yang dibelenggu kemiskinan atau mangsa yang tertindas akibat tindakan yang tanpa peduli hak kemanusian.
Kita sendiri pernah melihat, mendengar dan membaca pelbagai kisah kebaikan yang memberikan inspirasi dan motivasi yang kadangkala menyentuh naluri manusia sejagat.