comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan JAKIM ke atas GISBH adalah konsisten

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) konsisten mengambil tindakan ke atas Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd.(GISBH) dalam mengadakan dialog, program dan kajian mengenai isu ini dan pihaknya tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam.

Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata bidang kuasa JAKIM untuk mengambil tindakan terhadap GISBH selaras dengan peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Di mana JAKIM katanya sebagai sekretariat yang melaksanakan fungsi MKI bagi menyembah nasihat kepada Majlis Raja-Raja mengenai apa-apa perkara berkaitan perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam bagi maksud menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman undang-undang atas kepentingan negara.

Hakimah berkata, pihaknya akan membentangkan hasil kajian dan dapatan berhubung isu-isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH dalam
Muzakarah MKI dan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).

Ia kemudian akan memohon perkenan Majlis Raja Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

Dalam konteks berkaitan GISBH, beliau berkata, tindakan telah dimulakan pada bulan Februari 2019 dengan 12 mesyuarat, bengkel, task force, dan program kenegaraan telah dilaksanakan terhadap isu ini yang turut melibatkan agensi keselamatan negara iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tambah Hakimah, satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH telah diadakan pada bulan September 2019 melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah serta Panel Pakar Tasawuf JAKIM.

Jelasnya, pertemuan ini telah membincangkan isu berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah diadakan.

Ini bertujuan untuk menyelaras isu berkaitan, disusuli dengan beberapa perbincangan pada bulan Ogos 2024, Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali kedua serta dialog dengan pihak GISBH pada 22 September, diadakan atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan .

Seterusnya disusuli dengan perbincangan bersama NADI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH di samping program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, KBS pada Oktober 2023.

Seterusnya pada Februari 2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH, ujar beliau.

Terdahulu, Mufti Perlis,  Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin  mendakwa isu melibatkan dakwaan rumah amal sebuah syarikat, Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) telah lama dibentangkan kepada pelbagai penguat kuasa agama termasuk Jakim namun tidak diberi perhatian pihak sewajarnya.

Beliau mendedahkan, pihak yang mengkaji isu GISBH telah berusaha bertahun lamanya namun belum ada tindakan diambil.

“Mungkin disebabkan kegagalan itu, pihak berkenaan telah membuat keputusan untuk bentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis,” katanya.

Loading...
Terkini