Tumpuan :
Nasional

Timbunan sampah cemarkan Lahad Datu

Sampah plastik di pesisir pantai dekat Jalan Pantai menjejaskan imej Lahad Datu. FOTO: Lahad Datu Info / Facebook

LAHAD DATU: Orang ramai melahirkan kekecewaan susulan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai timbunan sampah plastik yang mencemari kawasan tepi laut dekat sini.

Warganet berpendapat keadaan itu menjejaskan imej daerah ini sebagai destinasi persinggahan pengunjung.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan di Facebook Lahad Datu Info, timbunan plastik berwarna-warni kelihatan memenuhi satu sudut pantai yang menjadi lokasi orang ramai berehat.

Difahamkan gambar berkenaan dirakam di Jalan Pantai, di sini.

Berikutan itu, ramai netizen menyuarakan gesaan supaya tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah itu, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada masa yang sama, ada juga yang menyalahkan sikap segelintir masyarakat setempat yang mengambil mudah membuang sampah di laut sebagai punca berlakunya keadaan itu.

Penduduk, Arman Amir, 35, mengakui timbunan sampah yang mudah dilihat berikutan lokasinya dekat dengan jalan utama di kawasan bandar Lahad Datu menjejaskan imej bandar ini.

“Melihat keadaan sampah yang memenuhi tepi laut ini sudah cukup menggambarkan keadaan bandar yang kotor dan tidak terjaga.

“PBT perlu mengambil tindakan segera untuk membersihkannya dan selepas itu kita berharap orang ramai bersama-sama menjaga kebersihan bandar ini agar tidak lagi dilanda lautan sampah,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) akan memulakan usaha membersihkan pencemaran sampah di kawasan pesisir pantai bandar ini bermula pertengahan bulan ini.

Bandar Lahad Datu adalah antara kawasan pesat membangun di pantai timur Sabah berikutan pertumbuhan industri kelapa sawit.

Daerah ini juga terkenal sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi khususnya di Lembah Danum dan Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang sering menarik kehadiran pencinta alam dan hidupan liar dari luar negara.

Loading...
Terkini