comscore
Tumpuan :
Nasional

Timbalan Pengarah dan lima penguat kuasa PBT terima rasuah didakwa esok

Foto: NSTP

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Seorang Timbalan Pengarah dan lima penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melindungi premis-premis pelacuran dan premis perniagaan menggunakan ‘lesen ali baba’ akan didakwa di mahkamah esok.

Menurut sumber, pegawai kanan berkenaan bersama seorang pegawai bawahannya akan didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada premis-premis pelacuran di ibu negara.

Manakala, empat lagi penguat kuasa PBT yang sama pula akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur masing-masing atas satu pertuduhan menerima rasuah bagi melindungi premis-premis perniagaan yang beroperasi menggunakan ‘lesen ali baba’ di ibu negara.

“Pegawai kanan PBT berkenaan akan didakwa atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM130,000, manakala seorang pegawai bawahannya akan dituduh atas satu pertuduhan meminta wang rasuah daripada premis-premis pelacuran.

“Sementara empat penguat kuasa terbabit pula didakwa kerana menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM800 daripada premis yang menggunakan lesen ali baba bagi melindungi mereka daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Pada awal Jun lalu, Buletin TV3 melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, telah menahan tiga penjawat awam termasuk seorang Timbalan Pengarah dalam satu operasi khas kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis urut dan pelacuran di ibu kota.

Manakala, sekitar Julai lalu, Buletin TV3 turut melaporkan bahawa SPRM Kuala Lumpur telah menahan lapan penguat kuasa PBT kerana dipercayai menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah serta menggunakan lesen ali baba.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini